Tragedi 6 Anggota Bomba Lemas Ketika Menyelamat


Al-Fatihah dan Salam Takziah.

Semalam kita digemparkan dengan berita kejadian 6 anggota bomba Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) lemas ketika terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat seorang lelaki yang dipercayai terjatuh ke dalam lombong di Taman Putra Perdana, Puchong.

Tragedi 6 Anggota Bomba Lemas Ketika Menyelamat

BERIKUT ialah kronologi tragedi 6 anggota bomba lemas.

6.30 petang

Seramai lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cyberjaya dikejarkan ke Lombong Taman Putra Perdana selepas menerima panggilan kecemasan berhubung seorang remaja lemas.

8.55 malam

Seramai enam anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), empat daripadanya dari Balai Bomba Pelabuhan Klang dan dua dari Shah Alam tiba di lokasi mencari dan menyelamat (SAR).

9.15 malam

Pasukan PPDA selesai menyiapkan kelengkapan dan mula turun untuk selaman di lombong bagi mencari mangsa.

- Anggota mengikat tali panjang antara satu sama lain.
- Tali dihulurkan perlahan-lahan dari tebing ketika pihak scuba merapatkan diri di tempat mangsa jatuh.
- Arus aliran air lombong kuat secara tiba-tiba menarik seorang demi seorang ke dalam arus itu.

9.45 malam

Anggota penyelamat yang berada di tebing berusaha lebih 30 minit untuk menyelamatkan mereka dengan melakukan bantuan pernafasan (CPR)

9.50 malam

Pasukan perubatan dari Putrajaya yang berada di tempat kejadian mengesahkan enam anggota bomba meninggal dunia akibat lemas

11.30 malam

Enam jenazah anggota bomba dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.

Mayat Remaja Lemas Telah Dijumpai

Tragedi 6 Anggota Bomba Lemas Ketika Menyelamat

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, mayat mangsa ditemui pada jam 5.45 petang tadi.

“Pelbagai kaedah digunakan bagi mengesan lokasi mangsa sejak operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan petang semalam.

“Selepas lebih 24 jam, mangsa berjaya ditemui kira-kira 800 meter dari lokasi dia dilaporkan terjatuh dalam keadaan memakai seluar.

“Mangsa ditemui ketika anggota bomba sedang membuat penilaian di lokasi itu untuk membawa anjing pengesan sebelum mayat remaja terbabit ditemui terapung di kawasan berkenaan,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Abdul Aziz berkata, pelbagai kaedah digunakan pasukan penyelamat termasuk khidmat penyelam, pencarian di permukaan dan unit anjing pengesan (K9) serta pam air.

“Sebaik ditemui, anggota bomba mengangkat mayat mangsa menggunakan bot.

“Mayat mangsa kemudian disahkan oleh bapa mangsa sebelum dihantar ke Hospital Serdang untuk mengenal pasti punca kematian remaja berkenaan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). Bagaimanapun, siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengambil keterangan dua rakan mangsa yang berada di lokasi ketika kejadian,” katanya yang memaklumkan operasi SAR dihentikan pada jam 6.30 petang tadi.

Katanya, beliau berterima kasih kepada semua pihak dan agensi yang terbabit dalam operasi berkenaan.


Sumber : BH Online

0 Response to "Tragedi 6 Anggota Bomba Lemas Ketika Menyelamat"

Post a Comment