Resepi Mudah Buat Karipap Biasa Dan Karipap Gulung Kasih Sayang


Resepi Mudah Buat Karipap Biasa Dan Karipap Gulung Kasih Sayang

Disebabkan banyak pertanyaan apabila saya update status di facebook tentang karipap, hari ini saya nak kongsikan resepi buat karipap biasa dan karipap gulung. Sedap, lazat dan mercik... Haha dari kecil memang suka makan karipap.

Karipap memang makanan popular di Malaysia dan terdapat pelbagai rasa pada intinya seperti inti udang, sardin, ayam, serta daging. Karipap menjadi menu pilihan untuk bersarapan, minum petang dan juga sesuai dihidangkan untuk mesyuarat atau majlis kecil.


Karipap Biasa

Mungkin ramai yang dah pernah buat dan pernah makan karipap biasa. Ada juga yang tahu makan je tapi tak reti nak buat. Lipatan pada tepi karipap dipanggil sebagai kelim, yang ni kalau guna acuan tak berapa menjadi kena kelim balik guna tangan.

Bahan-Bahan Buat Kulit Karipap Biasa

  • tepung gandum 1 kilogram
  • marjerin (sesetengah orang guna minyak panas)
  • air yang dibancuh dengan sedikit garam

Cara-Cara Penyediaan Kulit Karipap

1. Masukkan tepung gandum dan marjerin ke dalam bekas. Marjerin tu nak cairkan dulu pun boleh.

2. Gaul dengan tangan atau senduk sehingga rata, gaul dengan penuh kasih sayang ye.

3. Sambil gaul masukkan air bancuhan garam sedikit demi sedikit.

4. Gaul dan uli tepung sehingga menjadi doh atau tepung tidak melekat di tangan, tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembik, kemudian siap dah kulit karipap, hihihi.


Bahan-Bahan Buat Inti Karipap

  • rempah kari daging 1 bungkus
  • cili kisar dalam 2 sudu
  • ubi keledek 1 biji
  • ubi kentang 2 biji
  • ayam atau daging yang dicincang halus
  • 1 labu bawang besar yang dipotong
  • daun bawang
  • garam
  • gula

Cara-Cara Penyediaan Inti Karipap

1. Macam biasa panaskan sedikit minyak di dalam kuali

2. Tumiskan bawang besar, cili kisar, rempah kari daging, ayam atau daging, garam dan gula secukup rasa.

3. Kemudian baru masukan ubi keledek dan ubi kentang, gaul sampai rata. Ewahhh macam chef pula.

4. Masukkan sedikit air supaya inti tak terlalu cepat masak

5. Gaul dan biarkan seketika sehingga nampak empuk ye

6. Ok, bila nampak air dah agak kering, taburkan daun bawang yang dipotong halus, agak-agak je jangan banyak sangat.

7. Siap



Nampak tak karipap saya, cantik atau tidak itu belakang kira, hihi.. Korang boleh guna acuan karipap, mudah je kan.

Selalunya kelim tu akan terbuka bila goreng, pastikan ia sempurna ye, salah satu petua agar kelim tidak terbuka ialah dengan sapukan air masak ke mulut karipap sebelum kepit dengan acauan, kalau yang expert tu kelim guna tangan je.

Karipap Gulung

Apa yang beza karipap gulung dengan karipap biasa ni adalah kulitnya, guna telur ye. Ok, penyediaan inti sama je macam karipap biasa, boleh rujuk di atas.

Bahan-Bahan Buat Kulit Karipap Gulung

  • tepung gandum 1/2 kilo
  • 2 biji telur
  • marjerin
  • air bancuhan garam


Cara-Cara Penyediaan Kulit Karipap Gulung

1. Masukkan tepung gandum dan marjerin ke dalam bekas. Marjerin tu nak cairkan dulu pun boleh.

2. Gaul dengan tangan atau senduk sehingga rata, gaul dengan penuh kasih sayang ye. Kemudian masukkan telur.

3. Sambil gaul masukkan air bancuhan garam sedikit demi sedikit.

4. Gaul dan uli tepung sehingga menjadi doh atau tepung tidak melekat di tangan, tidak terlalu keras dan tidak terlalu lembik, kemudian siap dah kulit karipap, hihihi.



Karipap gulung ni mudah je tak payah susah-susah nak guna acuan kelim, letakkan inti di tengah-tengah, lipat kiri dan kanan kemudian gulung, letakkan sedikit air masak dihujung supaya kulitnya melekat dan tidak terbuka apabila digoreng nanti.

Semuanya perlu dilakukan dengan penuh kasih sayang ye.

Ok selamat mencuba.

0 Response to "Resepi Mudah Buat Karipap Biasa Dan Karipap Gulung Kasih Sayang"

Post a comment